Next-Stage Entrepreneur Transformation Sarawak (NEXTS) anjuran Sarawak Digital Entrepreneur Community Cooperative Berhad (SARADEC) dengan kerjasama Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS Cawangan Kuching) telah berlangsung pada 16 Februari 2026 di Pusat Saradec Learning Centre @ Metrocity, menghimpunkan 29 usahawan mikro dan kecil dari seluruh Sarawak.
Program Next-Stage Entrepreneur Transformation Sarawak ini direka khusus untuk memperkukuh pemformalan perniagaan, pematuhan asas serta mempercepatkan penggunaan sistem digital dalam kalangan usahawan tempatan.
Melalui inisiatif strategik SARADEC kerjasama DUBS Kuching, peserta daripada sektor berimpak tinggi seperti Food & Beverage (F&B), perkhidmatan dan perniagaan berasaskan agro telah diberi pendedahan praktikal bagi meningkatkan daya saing dalam ekonomi digital Sarawak.
Program ini dijadualkan berlangsung setiap bulan sepanjang tahun 2026 dengan fokus modul berbeza.
Program ini menyasarkan usahawan aktif yang mengendalikan perniagaan mikro dan kecil, khususnya mereka yang masih berada pada tahap rendah dalam penggunaan sistem digital. Pendekatan yang diketengahkan adalah bersifat praktikal, tersusun dan berorientasikan tindakan.
Antara objektif utama program ialah:
-
Mempercepatkan proses pemformalan perniagaan dan kesiapsiagaan pematuhan asas.
-
Menerapkan amalan pengurusan kewangan dan operasi yang berdisiplin menggunakan alat digital mudah.
-
Memperkukuh pelaksanaan pemasaran digital melalui perancangan kandungan berstruktur dan strategi kos rendah.
-
Membina pemikiran strategik, keyakinan serta disiplin pelaksanaan dalam kalangan usahawan yang bersedia ke fasa pertumbuhan seterusnya.
Sesi latihan utama bertajuk “Digital Marketing Execution (Facebook Ads Low Budget, High Discipline)” telah dikendalikan oleh Afiq Khatem dari Ibrandium.
Modul ini memberi penekanan kepada penggunaan Facebook Ads secara berfokus, berdisiplin dan berimpak tinggi walaupun dengan bajet yang minimum.
Peserta didedahkan kepada teknik penetapan objektif kempen, struktur kandungan, pemantauan data serta pengoptimuman iklan secara konsisten.
Sepanjang program, para peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan teori, malah turut melaksanakan latihan praktikal yang menekankan tindakan segera (execution-driven learning).
Pendekatan ini selari dengan aspirasi SARADEC dan DUBS Kuching untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan digital Sarawak secara mampan dan berstruktur.
Sebagai komitmen berterusan dalam memperkasa usahawan tempatan, Program Next-Stage Entrepreneur Transformation Sarawak (NEXTS) akan diteruskan setiap bulan sepanjang tahun ini dengan tajuk dan fokus yang berbeza, merangkumi aspek kewangan, operasi, pemasaran serta pembangunan kepimpinan perniagaan.
Inisiatif ini mencerminkan usaha progresif SARADEC dan DUBS Kuching dalam memacu transformasi usahawan Sarawak ke tahap yang lebih kompetitif, berdaya tahan dan bersedia untuk berkembang dalam landskap ekonomi digital yang semakin dinamik.




0 Ulasan